Selasa, 28 Januari 2014

MENANGGAPI MUSIBAH

HIKMAH DI BALIK MUSIBAH

Agustus 20, 2013
Dr. Fathul Bari Mat Jahya
282924_308390112615646_1688512034_nALLAH menjanjikan Syurga bagi hambaNYA yang menjalani hidup dengan baik. Hidup di dunia tidak akan sentiasa menyenangkan. Setiap manusia digilirkan untuk merasai perkara yang disukai dan yang dia benci. Ini kerana dunia adalah tempat ujian bagi manusia untuk membuktikan siapa di kalangan hamba Allah yang benar imannya dan siapa yang berdusta.
Firman ALLAH, “Sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, dan Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 3)
Imam Ibnu Katsir rh. menjelaskan dalam tafsirnya: “(Agar dibezakan) orang yang benar dalam pengakuannya dari orang yang dusta dalam ucapan dan pengakuannya. Sedangkan Allah SWT Maha Mengetahui apa yang telah terjadi, yang sedang terjadi, dan yang akan terjadi. Allah juga mengetahui cara terjadi sesuatu bila hal itu terjadi. Hal ini adalah ijma’ para imam Ahlus Sunnah wal Jamaah.”
Antara bentuk ujian yang dihadapi manusia adalah seperti firman Allah, “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (Sesungguhnya kita milik ALLAH dan kepadaNYA kita dikembalikan).” Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah yang mendapat petunjuk.” (Al-BAqarah: 155-158)
Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang sabar ketika ditimpa musibah mendapat tiga keutamaan sekaligus; selawat Allah, rahmat dan petunjukNya. Allah SWT tidak pernah mengumpulkan tiga keutamaan sekaligus dalam satu ayat kecuali dalam ayat ini iaitu keutamaan bagi orang yang sabar ketika mendapat musibah. Makna selawat Allah kepada orang yang sabar ketika mendapat musibah adalah: Allah memuji orang tersebut di hadapan para malaikatNya yang suci, hal ini sebagaimana yang dikemukakan oleh Abu Al-‘Aliyah Al-Rayyahi rhm. (Syarh Al-Mumti’, Ibnu Al-Utsaimin)
Orang beriman percaya bahawa semua takdir ALLAH itu baik dan ada hikmahnya, kerana Allah tidak menjadikan sesuatu sia-sia. Mereka mengharap pahala darinya dan hanya orang yang sabar dicukupkan pahala tanpa batas, iaitu orang yang sabar semata-mata kerana Allah, bukan kerana terpaksa. Ini kerana sabar yang diganjari pahala adalah sabar di awal musibah.
Rasulullah SAW pernah melewati di sebelah seorang wanita yang menangisi kematian anaknya. Baginda berkata kepadanya, “Takutlah kepada Allah dan bersabarlah.” Wanita itu berkata, “Engkau tidak rasa musibah yang aku alami.” Ketika Rasulullah SAW berlalu dari situ ada sahabat berkata kepada wanita itu bahawa orang yang menasihati tadi adalah Rasulullah SAW. Alangkah terkejutnya wanita itu, dia segera pergi ke rumah Rasulullah SAW dan berdiri pintunya. Dia berkata, “Wahai Rasulullah, tadi aku tidak mengenalmu. Sekarang aku sabar.” Rasulullah SAW bersabda, “Sabar itu di awal musibah.” (Bukhari dan Muslim)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar